Sunday, April 11, 2010

Kereta sewa di T'ganu diganti dengan kenderaan baru

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM12 juta sebagai bantuan kepada pengusaha kereta sewa untuk menukar kenderaan masing-masing dengan kereta baru dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Peniaga Kecil Negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata bantuan itu, yang diberikan secara berperingkat selama enam tahun bermula tahun ini, akan melibatkan seramai 1,192 pengusaha kereta sewa di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, katanya, bantuan akan diberikan kepada 297 pengusaha kereta sewa di Kuala Terengganu, Besut (340), Marang (77), Hulu Terengganu (169), Kemaman (153), Dungun (73) dan Setiu (83).

Beliau berkata setiap pengusaha kereta sewa akan diberikan bantuan sebanyak RM10,000 setiap seorang bagi menukarkan kenderaan mereka kepada kereta nasional sama ada Proton Wira, Iswara atau Persona.

"Penjenamaan semula kereta sewa perlu dalam meningkatkan kecekapan dan imej pengangkutan awam di Terengganu kerana ia memberi gambaran tahap kemajuan sesebuah negeri," katanya semasa menjawab soalan Rozi Mamat (BN-Telemong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Abdul Rahin berkata pada tahun ini, kerajaan negeri telah membuat penjenaman semula kereta sewa di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, melibatkan sebanyak 33 pengusaha membabitkan peruntukan RM330,000.

Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya mensasarkan sebanyak 200 kereta sewa dapat dinaiktaraf selaras dengan penjenamaan semula kereta sewa itu.

Dalam memberikan bantuan tersebut, beliau berkata antara syarat ialah pengusaha terbabit perlu memiliki permit kereta sewa atas nama sendiri daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan menjalankan perkhidmatan sepenuh masa serta berumur kurang 55 tahun dan tidak disenaraihitam oleh bank.

Beliau berkata melalui penjenamaan semula kereta sewa itu, setiap kenderaan terbabit akan diseragamkan dengan dicat biru dan putih serta diletakkan pelekat yang diluluskan LPKP.

Bagi memastikan pengusaha terbabit memberikan perkhidmatan yang terbaik, beliau berkata setiap mereka diwajibkan menghadiri kursus peningkatan kualiti perkhidmatan serta sesi ceramah pembangunan negeri dalam usaha meningkatan ilmu pengetahuan mereka mengenai Terengganu.

Abdul Rahin berkata kerajaan juga akan menaiktaraf perkhidmatan teksi dengan memperkenalkan teksi bermeter di bandar ini.

"Sebanyak 30 teksi bandar akan diperkenalkan teksi bermeter. Kita sedang senarai pendek pengusaha teksi terbabit di samping mendapat persetujuan LPKP supaya teksi ini dapat beroperasi dalam lingkungan 25 km dalam bandar Kuala Terengganu.

"Langkah penjenamaan semula kereta sewa dan memperkenalkan teksi bermeter itu adalah sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment